Ahad, 1 Mei 2011

SAYANGI DIRI KENALI TUBUH BADAN ANDA......

Adakah anda menyayangi tubuh badan anda?  Adakah anda benar-benar memahami tentangnya?  Bagaimana anda memeliharanya agar sentiasa sihat dan bertenaga?  Untuk itu, kita akan sama-sama memahami tentang tubuh badan kita  supaya kita tahu bagaimana untuk memeliharanya supaya sentiasa sihat dan aktif.

Tambahan pula di peringkat remaja,  kanak-kanak akan mengalami pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan yang jauh berbeza daripada keadaan asalnya. 

Menurut Tanner (1966), perubahan yang berlaku pada diri remaja merangkumi perubahan dari segi fizikal, psikologikal, sosial dan kognitif.  Kematangan tubuh badan akan menjadi lebih cepat iaitu apabila mencapai purata peringkat umur 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki.  Pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan kanak-kanak adalah berbeza di antara satu sama lain.  Oleh itu, guru-guru dan ibu bapa perlulah mempunyai pengetahuan tentang aspek-aspek ini.  Ianya sangat membantu guru dan ibu bapa untuk merancang dan membimbing mereka.  Hasil kajian mengenai pertumbuhan dan perkembangan  tubuh badan manusia adalah bermatlamat untuk:

  • Menghuraikan atau memberi gambaran mengenai perubahan tersebut.
  • Mencari sebab dan punca perubahan tersebut
  • Meramalkan kejadian perubahan tersebut
  • Mengubahsuai sesuatu perubahan supaya ia tidak mendatangkan masalah
Adakah anda tahu bahawa kebanyakan kanak-kanak akan berasa kecewa dan hampa apabila mereka tidak mengalami pertumbuhan yang pantas berbanding dengan rakan-rakan sebaya mereka. Ini boleh merunsingkan hidup mereka. Bagi meredakan keadaan ini, mereka perlu didedahkan bahawa proses akil baligh tidak berlaku pada masa yang sama bagi setiap kanak-kanak. Malahan, tidak ada satu latihan yang khusus pun yang dapat membantu menangani masalah ini. Oleh itu, kanak-kanak lelaki perlu mengetahui bahawa mereka akan mengalami pertumbuhan otot-otot  besar  apabila mencapai peringkat dewasa. Manakala, bagi kanak-kanak perempuan pula mereka akan mengalami pembesaran buah dada  sekiranya sudah melalui proses kitaran haid.


Pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan manusia mempunyai arah.  Secara umumnya terdapat dua arah iaitu cephalocaudal dan proximodistal.  Kedua-dua perkataan ini berasal daripada perkataan Latin. Cephalocaudal bermaksud dari kepala ke ekor.  Oleh itu, arah perkembangan kematangan tubuh badan adalah daripada kepala ke bawah bahagian tulang belakang.  Jika anda teliti, berat, bilangan sel dan fungsi otak bayi yang baru dilahirkan menghampiri 80% otak orang dewasa.  Akan tetapi tulang belakangnya masih belum matang dan tidak mampu menyokong bayi itu duduk.  Oleh itu, kematangan itu bermula dari bahagian kepala dan beransur-ansur ke bawah ke bahagian bawah tulang belakang.

Manakala proximodistal pula adalah untuk anggota tangan dan kaki.  Bahagian yang menghampiri tulang belakang akan matang terlebih dahulu.  Kematangan  iniberansur-ansur berlaku hingga ke hujung kaki dan  tangan.   Contohnya, seorang bayi boleh menggerakkan tangannya kea rah ibunya tetapi masih belum mampu untuk memegang pensel dengan baik.  Secara kasarnya, pengkaji telah membahagikan perkembangan manusia kepada tujuh fasa yang utama.  Walau bagaimanapun, peringkat yang berbeza akan kita temui jika aspek yang dikaji itu berbeza.  Tujuh aspek perkembangan tersebut adalah:

·        Peringkat semasa kandungan
·        Peringkat bayi merah  (neonate) atau 10 hingga 14 hari selepas dilahirkan
·        Peringkat bayi iaitu 2 tahun pertama atau sebelum menguasai bahasa
·        Peringkat kanak-kanak hingga akil baligh
·        Peringkat remaja (selepas akil baligh) hingga belia
·        Peringkat belia dan dewasa
·        Peringkat tua

Pertumbuhan dan perkembangan berlaku secara menyeluruh.  Lazimnya ia berlaku daripada pergerakan kasar kepada pergerakan yang halus.  Seorang bayi akan menggerakkan semua anggota badannya untuk mencapai sesuatu tetapi orang dewasa hanya perlu menggerakkan tangannya sahaja.  Pencapaian daripada pergerakan kasar kepada halus memerlukan kematangan dan latihan.  Contohnya, sekiranya kita tidak biasa menggunakan mikroskop, kita akan menggunakan semua anggota badan untuk melakukan aktiviti dengannya.  Tetapi sekiranya kita sudah biasa maka kita hanya akan menggerakkan anggota badan yang diperlukan sahaja.  Di sini dapatlah disimpulkan bahawa pergerakan daripada pergerakan kasar kepada halus memerlukan dua proses iaitu pembezaan dan penyatuan.  Perkara yang kita tahu tentang mikroskop merupakan pembezaan.  Setelah pembezaan ini selesai, maka proses penyatuan berlaku iaitu kita tahu secara menyeluruh tentang apa yang berlaku apabila kita memegang mikroskop.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan