Sabtu, 24 Mac 2012

Ibadah di Angkasa Lepas


Program Angkasawan Negara Malaysia bermula pada 2006 untuk menghantar angkasawan dari negara Malaysia ke angkasa lepas. Pada 4 September 2007, Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih sebagai Angkasawan Malaysia yang pertama. Beliau akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.Pengarah Program Angkasawan Negara ialah Kolonel Dr Zulkifly Yusoff.

ANGKASAWAN Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor mungkin orang Islam pertama menunaikan sembahyang lima waktu di angkasa lepas. Beliau juga angkasawan pertama mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bagi meraikan teman-temannya. Dengan itu beliau menempa sejarah.

Sebenarnya panduan teratur rapi telah disusun bagi Sheikh Muszaphar dalam Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa yang dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Turut memberi nasihat ialah para ulama, mufti dan saintis.

Berikutan itu terbit buku ibadah di angkasa lepas, kali pertama yang seumpamanya dilancarkan dalam apa jua bahasa. Antara panduan yang diberi:

- Puasa ditunaikan di stesen angkasa lepas atau secara qada manakala kembali ke bumi.

- Solat ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada.

- Jika tidak berkeupayaan berdiri untuk bersolat, hendaklah secara duduk. Jika tidak berupaya baring, menelentang lakukan secara - syarat mata bagi tiap pergerakan atau dengan hati, iaitu menggambarkan diri berdiri, rukuk, sujud dan seterusnya.

- Seandainya berlaku kematian di angkasa lepas, jenazah hendaklah dibawa balik ke bumi. Atau jika ini tidak mungkin dilakukan, jenazah hendaklah “dikebumikan” di angkasa lepas selepas doa.
Jelas sekali panduan rapi yang disusun bagi angkasawan Malaysia. Kerana Malaysia merancang mengirim angkasawan ke bulan menjelang tahun 2020. Setelah berlepas meninggalkan bumi pada 10 Oktober 2007, Sheikh Muszaphar sendiri berada di stesen angkasa lepas selama 10 hari bersama Yuri Malenchenko dari Rusia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.

Sheikh Muszaphar adalah orang Islam kesembilan melintasi sempadan 100 kilometer di atas muka bumi yang dianggap garisan ke angkasa lepas. Antara yang telah mengalaminya ialah Putera Sultan Ibn Salman dari Arab Saudi dari Arab Saudi, yang terbang bersama satu pasukan angkasawan Amerika pada tahun 1985.
Dari mana juga nanti, angkasawan Islam menunaikan solat ke arah Kaabah sebagaimana dirakam dalam gambar yang diambil jauh dari petala langit, jelas sekali betapa berjuta orang Islam menunaikan ibadat haji dan umrah setiap tahun.

Kerana, walau ke mana juga manusia menuju sejauh-jauhnya dan setinggi-tingginya di angkasa lepas serta bumi lain adanya, namun, lebih tinggi lagi kekuasaan Tuhan seru sekian alam dan keteguhan iman kita terhadap-Nya.

Khamis, 22 Mac 2012

Ciri-ciri Guru Cemerlang


Guru Cemerlang mempunyai ciri-ciri yang berikut dari segi kualiti:

Peribadi: Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar yang dapat menjadi role model kepada warga pendidik.

Pengetahuan dan kemahiran: Gur

u Cemerlang ialah guru yang menguasai dan menghayati kandungan mata pelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ternologi maklumat dan komunikasi.

Hasil kerja: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) ke arah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Komunikasi: Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi.

Potensi: Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.

Sumbangan kepada kemajuan pendidikan negara: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya menjana idea baru dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Personaliti Ibubapa Cemerlang


Tegas
Ketegasan dalam segala tindakan ibu bapa akan dapat mendisplinkan anak dengan lebih cemerlang. Ketegasan yang positif akan menyebabkan anak-anak lebih menghormati kedua-dua orang tuanya dan memahami kehendak ibu bapanya.

Berakhlak mulia
Ibu bapa yang cemerlang mestilah mempunyai akhlak yang mulia untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Sebagaimana hadis Rasullullah S.A.W. yang bermaksud : “Paling sempurna seorang mukmin imannya adalah yang paling luhur akhlaknya.” (Hadith Riwayat Tirmidzi). Pepatah Melayu juga pernah menyebut : “Bapa borek anak rintik“. Kita tidak mahu menjadi seperti “Ketam yang mengajar anaknya berjalan betul“.

Mengambil berat terhadap keluarga
Suka sifat mengambil berat terhadap keluarga akan menyebabkan anak-anak rasa disayangi dan diambil perhatian. Sifat ini dengan secara tidak langsung akan menanamkan rasa kasih sayang di jiwa anak-anak.

Komitmen yang tinggi
Apabila pasangan suami isteri bersedia untuk mempunyai keluarga, sudah tentulah komitmen yang tinggi diperlukan untuk menjamin keharmonian rumah tangga. Sekiranya pasangan suami isteri hanya menganggap bahawa berkeluarga hanyalah kitaran hidup yang biasa bagi seorang manusia, maka janganlah hairan kalau rumah tangga tersebut hanya berada di tahap yang sederhana sahaja.

Berketrampilan dalam pelbagai bidang
Ibu bapa yang cemerlang harus mempunyai pengetahuan yang agak luas dalam pelbagai bidang. Ini akan dapat mengukuhkan kefahaman mereka dalam mendidik anak-anak mengenai bidang-bidang yang berkenaan.

Yakin terhadap diri sendiri
Keyakinan yang tinggi menjadi pemimpin dalam rumah tangga adalah tunggak kepada kekuatan seseorang suami dan keyakinan yang jitu dalam mendidik anak-anak adalah tunggak kepada isteri yang solehah. Tanpa keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri, kedua-dua ibu bapa tidak dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan. Ingat “bagaimana acuan, begitulah kuihnya“.

Konsisten dalam melakukan sesuatu
Sesuatu amalan yang dilakukan secara konsisten oleh kedua-dua ibu bapa seperti sembahyang jemaah, melakukan aktiviti-aktiviti yang mulia, memberi arahan dan mengenakan hukuman akan dapat menanamkan rasa hormat dalam diri anak-anak terhadap kedua-dua orang tuanya.

Pemikiran yang kreatif dan positif
Ibu bapa yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan positif akan dapat mewujudkan suasana yang ceria dalam rumah tangga. Kreatif dalam mengemas rumah, memilih makanan, beriadah dan sebagainya akan dapat mengubah selera dan suasana dalam rumah tangga.

Boleh diharap
Ibu bapa adalah tempat bergantung oleh anak-anak. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa bersedia untuk melayani dan melindungi ahli-ahli keluarga apabila diperlukan.

Sentiasa bertenaga
Anak-anak memerlukan kemanjaan, kasih sayang dan perhatian pada bila-bila masa. Oleh yang demikian ibu bapa harus sentiasa mempunyai tenaga yang banyak untuk melayani kerenah anak-anak. Pastikan kesihatan diri sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Sentiasa bersemangat
Ibu bapa tidak seharusnya berasa jemu untuk menjalankan aktiviti harian. Mereka harus sentiasa bersemangat untuk mewujudkan suasana rumah tangga yang bahagia. Semangat ini hanya datang dari komitmen yang tinggi dan pemikiran yang positif.

Mudah mesra dan penyayang
Senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu bapa menjadi penawar kepada segala penyakit dalam rumah tangga.

Pandai mendengar dengan berkesan
Ibu bapa yang boleh mendengar dengan berkesan rintihan anak-anak akan dapat menyelesaikan segala masalah anak-anak. Mendengar merupakan satu kemahiran yang harus dipelajari untuk memahami dan mendidik dengan lebih berkesan.

Sentiasa bekerja kuat dan smart
Sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan akan membuahkan hasil yang lumayan. Pekerjaan seumpama ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak.

Kejujuran dan keikhlasan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduk. Kejujuran dan keikhlasan dalam menghukum anak misalnya akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan perasaan marah dan benci.

Merendah diri
Sifat merendah diri ini bukanlah bermaksud sehingga anak-anak boleh memijak kepala kita. Sekiranya ibu bapa merendah diri terhadap kedua-dua ibu bapanya, maka sudah tentulah anak akan mengikuti jejak langkah tersebut.

Sentiasa menjaga harga diri / maruah
Ibu bapa yang sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga akan meningkatkan lagi maruah keseluruhan keluarga tersebut. Dengan ini keluarga tersebut akan dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Bijaksana
Ibu bapa seharusnya mempunyai kebijaksanaan yang melebihi anak-anak. Ini sudah tentunya melalui pengalaman dan pembacaan yang luas. Pergaulan yang luas juga menjadikan ibu bapa lebih berpengetahuan.

Pengasih dan penyayang
Anak-anak memerlukan ibu bapa yang pengasih dan penyayang. Semua anak tidak meminta untuk dilahirkan ke dunia ini. Oleh itu setiap kelahiran anak patutlah dibajai dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Bermotivasi tinggi
Ibu bapa harus sentiasa memupuk semangat motivasi yang tinggi dalam diri masing-masing. Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Motivasi hendaklah dipupuk dan dibaja setiap masa dan ketika

Optimistik
Persediaan untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang sebelum berkahwin lagi akan menjadikan seseorang itu bersifat optimistik terhadap membina rumah tangga yang diidamkan.

Mempunyai perancangan yang rapi
Merancang kehidupan harian adalah satu langkah yang paling baik untuk kesejahteraan semua ahli keluarga. Perancangan yang teratur akan melicinkan perjalanan harian keluarga dan dapat memastikan semua ahli dalam keadaan selesa.

Gigih
Kesejahteraan sesebuah keluarga tidak dapat dibentuk dalam sekelip mata sahaja. Ia memerlukan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Mereka yang berasa kecewa akan gagal. Jadikan kegagalan sebagai kawan yang paling karib untuk mencapai kejayaan.


Sikap mental yang positif dan kreatif
Bagi mengelakkan kebosanan dalam rumah tangga, ibu bapa hendaklah sentiasa mempunyai sikap mental yang positif dan kreatif dalam menangani segala masalah dalam rumah tangga.

Kepantasan bertindak
Membuat keputusan yang adil dan bertindak cepat akan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Imej diri yang cemerlang
Imej diri yang cemerlang akan menambahkan keyakinan dalam diri ibu bapa. Imej diri bukan sahaja dilihat dari perspektif luaran malah ia juga harus dilihat dari perspektif dalaman.

Mempunyai kemahiran berkomunikasi
Ibu bapa yang mempunyai kemahiran komunikasi akan disukai oleh semua ahli keluarga. Teknik menegur ahli keluarga yang berhemah akan menjadikan mereka orang yang disanjungi dan dihormati.

Pandai bergurau
Bergurau senda dalam rumah tangga akan menceriakan persekitaran sesebuah keluarga.

Berdoa dan mendoakan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa berdoa untuk kecemerlangan diri dan ahli keluarga yang lainnya.

Selamat Mencuba!

Khasiat Ulam-ulaman

Ulam-ulaman kaya dengan vitamin dan zat galian bukan sahaja berpotensi mengubati penyakit-penyakit tetapi mempunyai bahan anti-bakteria dan anti-oksidan.

Kempen makan ulam-ulaman bukan sahaja mendapat perhatian orang Melayu bahkan orang Cina dan bangsa lain juga menunjukkan minat untuk memakan ulam-ulaman.Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas, seperti ulam daun maman di atas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.

Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.


Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.

Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.

Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.

Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.

Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.

Sebolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu membuka selera, turut 'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi pemakanan mahupun perubatan.

Selasa, 20 Mac 2012

Pakaian Kebangsaan

Pakaian Tradisi Malaysia Yang Menawan




Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.
Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.
Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.


Melayu
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala



Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang
Cina
Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

India
Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

Baba Nyonya
Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.



Portugis-Eurasian
Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak
Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pula kaum Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.
Pakaian Orang Iban Pakaian Orang Ulu
Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya.
kaum Kadazan-Dusun

Orang Asli

Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak.