Ahad, 1 Mei 2011

MEMILIKI KESIHATAN MENTAL YANG BAIK

Anda sering mendengar luahan kerajaan yang mengutamakan kesihatan mental.  Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan pelbagai aktiviti dan program-program dianjurkan untuk menyedarkan orang ramai tentang betapa pentingnya kesihatan mental yang baik. Tahukah anda apa itu kesihatan mental?  Apakah yang dikatakan sebagai kesihatan mental yang baik?  Bagaimanakah membentuk kesihatan mental yang baik?
Definisi kesihatan mental yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kebolehan individu itu mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain, kebolehan mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan menyumbang kepadanya. Kesihatan mental berkait rapat dengan kehidupan kita. Orang ramai sering mengaitkan kesihatan mental dengan penyakit mental tetapi kenyataan ini adalah kurang tepat.  Ia melibatkan kehidupan harian yang merangkumi: 
  • Memupuk perasaan, fikiran dan tingkahlaku yang positif dalam diri sendiri.
  • Kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain, kumpulan dan persekitarannya.
  • Bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, masalah dan tekanan yang timbul dari kehidupan harian.
Adakah anda ingin memiliki kesihatan mental yang baik? Jawapannya adalah “ya” bukan?  Setiap individu pasti ingin memiliki kesihatan mental yang baik.  Apakah yang dikatakan sebagai kesihatan mental yang baik?  Berikut disenaraikan ciri-ciri kesihatan mental yang baik:
Terhadap diri sendiri
  • Menyedari kelemahan dan kekuatan diri sendiri.
  • Berupaya mengawal perasaan.
  • Sanggup menerima kegagalan.
  • Mampu menghindari kegiatan yang tidak bermoral.
  • Menghargai diri sendiri.
Terhadap orang lain
  • Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain.
  • Mampu memberi dan menerima kasih sayang.
  • Tahu menghargai dan mempercayai orang lain.
  • Dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka.
  • Terhadap cabaran
  • Berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah.
  • Mampu mengatasi konflik dengan bijak.
  • Mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.
  • Bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya gagal menyelesaikan masalah harian.
Mempunyai kesihatan mental yang baik menjadi impian setiap individu.  Bagaimana anda ingin membentuk kesihatan mental yang baik? Berikut disenaraikan sepuluh langkah ke arah kesihatan mental yang baik:
  • Menerima kenyataan diri secara realistik.
  • Mengendali masa dengan baik (time management)
  • Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak.
  • Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga dan orang lain.
  • Menjaga kesihatan fizikal.
  • Menyediakan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah.
  • Memastikan rehat dan tidur yang cukup.
  • Mengendalikan tekanan mental secara berkesan.
  • Mengamalkan asas-asas kerohanian yang baik.
  • Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu.
 
Kesihatan mental yang baik adalah penting untuk anda meneruskan kehidupan anda yang penuh pancaroba ini.  Setiap individu di muka bumi ini pasti mengharapkan agar sentiasa dikurniakan kesihatan mental yang baik.  Untuk merealisasikan impian anda,  peliharalah diri dan hiasilah

peribadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan