Sabtu, 24 Mac 2012

Ibadah di Angkasa Lepas


Program Angkasawan Negara Malaysia bermula pada 2006 untuk menghantar angkasawan dari negara Malaysia ke angkasa lepas. Pada 4 September 2007, Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih sebagai Angkasawan Malaysia yang pertama. Beliau akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.Pengarah Program Angkasawan Negara ialah Kolonel Dr Zulkifly Yusoff.

ANGKASAWAN Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor mungkin orang Islam pertama menunaikan sembahyang lima waktu di angkasa lepas. Beliau juga angkasawan pertama mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bagi meraikan teman-temannya. Dengan itu beliau menempa sejarah.

Sebenarnya panduan teratur rapi telah disusun bagi Sheikh Muszaphar dalam Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa yang dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Turut memberi nasihat ialah para ulama, mufti dan saintis.

Berikutan itu terbit buku ibadah di angkasa lepas, kali pertama yang seumpamanya dilancarkan dalam apa jua bahasa. Antara panduan yang diberi:

- Puasa ditunaikan di stesen angkasa lepas atau secara qada manakala kembali ke bumi.

- Solat ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada.

- Jika tidak berkeupayaan berdiri untuk bersolat, hendaklah secara duduk. Jika tidak berupaya baring, menelentang lakukan secara - syarat mata bagi tiap pergerakan atau dengan hati, iaitu menggambarkan diri berdiri, rukuk, sujud dan seterusnya.

- Seandainya berlaku kematian di angkasa lepas, jenazah hendaklah dibawa balik ke bumi. Atau jika ini tidak mungkin dilakukan, jenazah hendaklah “dikebumikan” di angkasa lepas selepas doa.
Jelas sekali panduan rapi yang disusun bagi angkasawan Malaysia. Kerana Malaysia merancang mengirim angkasawan ke bulan menjelang tahun 2020. Setelah berlepas meninggalkan bumi pada 10 Oktober 2007, Sheikh Muszaphar sendiri berada di stesen angkasa lepas selama 10 hari bersama Yuri Malenchenko dari Rusia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.

Sheikh Muszaphar adalah orang Islam kesembilan melintasi sempadan 100 kilometer di atas muka bumi yang dianggap garisan ke angkasa lepas. Antara yang telah mengalaminya ialah Putera Sultan Ibn Salman dari Arab Saudi dari Arab Saudi, yang terbang bersama satu pasukan angkasawan Amerika pada tahun 1985.
Dari mana juga nanti, angkasawan Islam menunaikan solat ke arah Kaabah sebagaimana dirakam dalam gambar yang diambil jauh dari petala langit, jelas sekali betapa berjuta orang Islam menunaikan ibadat haji dan umrah setiap tahun.

Kerana, walau ke mana juga manusia menuju sejauh-jauhnya dan setinggi-tingginya di angkasa lepas serta bumi lain adanya, namun, lebih tinggi lagi kekuasaan Tuhan seru sekian alam dan keteguhan iman kita terhadap-Nya.

Khamis, 22 Mac 2012

Ciri-ciri Guru Cemerlang


Guru Cemerlang mempunyai ciri-ciri yang berikut dari segi kualiti:

Peribadi: Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar yang dapat menjadi role model kepada warga pendidik.

Pengetahuan dan kemahiran: Gur

u Cemerlang ialah guru yang menguasai dan menghayati kandungan mata pelajaran atau bidang pengkhususan dan kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenal pasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ternologi maklumat dan komunikasi.

Hasil kerja: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) ke arah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Komunikasi: Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi.

Potensi: Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.

Sumbangan kepada kemajuan pendidikan negara: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya menjana idea baru dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Personaliti Ibubapa Cemerlang


Tegas
Ketegasan dalam segala tindakan ibu bapa akan dapat mendisplinkan anak dengan lebih cemerlang. Ketegasan yang positif akan menyebabkan anak-anak lebih menghormati kedua-dua orang tuanya dan memahami kehendak ibu bapanya.

Berakhlak mulia
Ibu bapa yang cemerlang mestilah mempunyai akhlak yang mulia untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Sebagaimana hadis Rasullullah S.A.W. yang bermaksud : “Paling sempurna seorang mukmin imannya adalah yang paling luhur akhlaknya.” (Hadith Riwayat Tirmidzi). Pepatah Melayu juga pernah menyebut : “Bapa borek anak rintik“. Kita tidak mahu menjadi seperti “Ketam yang mengajar anaknya berjalan betul“.

Mengambil berat terhadap keluarga
Suka sifat mengambil berat terhadap keluarga akan menyebabkan anak-anak rasa disayangi dan diambil perhatian. Sifat ini dengan secara tidak langsung akan menanamkan rasa kasih sayang di jiwa anak-anak.

Komitmen yang tinggi
Apabila pasangan suami isteri bersedia untuk mempunyai keluarga, sudah tentulah komitmen yang tinggi diperlukan untuk menjamin keharmonian rumah tangga. Sekiranya pasangan suami isteri hanya menganggap bahawa berkeluarga hanyalah kitaran hidup yang biasa bagi seorang manusia, maka janganlah hairan kalau rumah tangga tersebut hanya berada di tahap yang sederhana sahaja.

Berketrampilan dalam pelbagai bidang
Ibu bapa yang cemerlang harus mempunyai pengetahuan yang agak luas dalam pelbagai bidang. Ini akan dapat mengukuhkan kefahaman mereka dalam mendidik anak-anak mengenai bidang-bidang yang berkenaan.

Yakin terhadap diri sendiri
Keyakinan yang tinggi menjadi pemimpin dalam rumah tangga adalah tunggak kepada kekuatan seseorang suami dan keyakinan yang jitu dalam mendidik anak-anak adalah tunggak kepada isteri yang solehah. Tanpa keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri, kedua-dua ibu bapa tidak dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan. Ingat “bagaimana acuan, begitulah kuihnya“.

Konsisten dalam melakukan sesuatu
Sesuatu amalan yang dilakukan secara konsisten oleh kedua-dua ibu bapa seperti sembahyang jemaah, melakukan aktiviti-aktiviti yang mulia, memberi arahan dan mengenakan hukuman akan dapat menanamkan rasa hormat dalam diri anak-anak terhadap kedua-dua orang tuanya.

Pemikiran yang kreatif dan positif
Ibu bapa yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan positif akan dapat mewujudkan suasana yang ceria dalam rumah tangga. Kreatif dalam mengemas rumah, memilih makanan, beriadah dan sebagainya akan dapat mengubah selera dan suasana dalam rumah tangga.

Boleh diharap
Ibu bapa adalah tempat bergantung oleh anak-anak. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa bersedia untuk melayani dan melindungi ahli-ahli keluarga apabila diperlukan.

Sentiasa bertenaga
Anak-anak memerlukan kemanjaan, kasih sayang dan perhatian pada bila-bila masa. Oleh yang demikian ibu bapa harus sentiasa mempunyai tenaga yang banyak untuk melayani kerenah anak-anak. Pastikan kesihatan diri sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Sentiasa bersemangat
Ibu bapa tidak seharusnya berasa jemu untuk menjalankan aktiviti harian. Mereka harus sentiasa bersemangat untuk mewujudkan suasana rumah tangga yang bahagia. Semangat ini hanya datang dari komitmen yang tinggi dan pemikiran yang positif.

Mudah mesra dan penyayang
Senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu bapa menjadi penawar kepada segala penyakit dalam rumah tangga.

Pandai mendengar dengan berkesan
Ibu bapa yang boleh mendengar dengan berkesan rintihan anak-anak akan dapat menyelesaikan segala masalah anak-anak. Mendengar merupakan satu kemahiran yang harus dipelajari untuk memahami dan mendidik dengan lebih berkesan.

Sentiasa bekerja kuat dan smart
Sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan akan membuahkan hasil yang lumayan. Pekerjaan seumpama ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak.

Kejujuran dan keikhlasan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduk. Kejujuran dan keikhlasan dalam menghukum anak misalnya akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan perasaan marah dan benci.

Merendah diri
Sifat merendah diri ini bukanlah bermaksud sehingga anak-anak boleh memijak kepala kita. Sekiranya ibu bapa merendah diri terhadap kedua-dua ibu bapanya, maka sudah tentulah anak akan mengikuti jejak langkah tersebut.

Sentiasa menjaga harga diri / maruah
Ibu bapa yang sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga akan meningkatkan lagi maruah keseluruhan keluarga tersebut. Dengan ini keluarga tersebut akan dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Bijaksana
Ibu bapa seharusnya mempunyai kebijaksanaan yang melebihi anak-anak. Ini sudah tentunya melalui pengalaman dan pembacaan yang luas. Pergaulan yang luas juga menjadikan ibu bapa lebih berpengetahuan.

Pengasih dan penyayang
Anak-anak memerlukan ibu bapa yang pengasih dan penyayang. Semua anak tidak meminta untuk dilahirkan ke dunia ini. Oleh itu setiap kelahiran anak patutlah dibajai dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

Bermotivasi tinggi
Ibu bapa harus sentiasa memupuk semangat motivasi yang tinggi dalam diri masing-masing. Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Motivasi hendaklah dipupuk dan dibaja setiap masa dan ketika

Optimistik
Persediaan untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang sebelum berkahwin lagi akan menjadikan seseorang itu bersifat optimistik terhadap membina rumah tangga yang diidamkan.

Mempunyai perancangan yang rapi
Merancang kehidupan harian adalah satu langkah yang paling baik untuk kesejahteraan semua ahli keluarga. Perancangan yang teratur akan melicinkan perjalanan harian keluarga dan dapat memastikan semua ahli dalam keadaan selesa.

Gigih
Kesejahteraan sesebuah keluarga tidak dapat dibentuk dalam sekelip mata sahaja. Ia memerlukan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Mereka yang berasa kecewa akan gagal. Jadikan kegagalan sebagai kawan yang paling karib untuk mencapai kejayaan.


Sikap mental yang positif dan kreatif
Bagi mengelakkan kebosanan dalam rumah tangga, ibu bapa hendaklah sentiasa mempunyai sikap mental yang positif dan kreatif dalam menangani segala masalah dalam rumah tangga.

Kepantasan bertindak
Membuat keputusan yang adil dan bertindak cepat akan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Imej diri yang cemerlang
Imej diri yang cemerlang akan menambahkan keyakinan dalam diri ibu bapa. Imej diri bukan sahaja dilihat dari perspektif luaran malah ia juga harus dilihat dari perspektif dalaman.

Mempunyai kemahiran berkomunikasi
Ibu bapa yang mempunyai kemahiran komunikasi akan disukai oleh semua ahli keluarga. Teknik menegur ahli keluarga yang berhemah akan menjadikan mereka orang yang disanjungi dan dihormati.

Pandai bergurau
Bergurau senda dalam rumah tangga akan menceriakan persekitaran sesebuah keluarga.

Berdoa dan mendoakan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa berdoa untuk kecemerlangan diri dan ahli keluarga yang lainnya.

Selamat Mencuba!

Khasiat Ulam-ulaman

Ulam-ulaman kaya dengan vitamin dan zat galian bukan sahaja berpotensi mengubati penyakit-penyakit tetapi mempunyai bahan anti-bakteria dan anti-oksidan.

Kempen makan ulam-ulaman bukan sahaja mendapat perhatian orang Melayu bahkan orang Cina dan bangsa lain juga menunjukkan minat untuk memakan ulam-ulaman.Ulam adalah sayuran atau tumbuhan yang dimakan mentah atau sekadar dicelur iaitu direndam sekejap di dalam air panas, seperti ulam daun maman di atas. Ada juga sesetengah ulam perlu direbus terlebih dahulu, baru sedap dimakan seperti ulam pucuk ubi. Biasanya ulam dijamu bersama sambal belacan, budu atau cencaluk untuk dimakan bersama nasi.

Ulam diambil daripada pelbagai bahagian sesuatu pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan, antaranya pucuk, daun, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunganya.

Ada antara ulam cukup popular dan mudah didapati di pasaran seperti rebung, cekur manis, jering, petai, ulam raja dan sebagainya.

Sementara ulam beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus antara ulam yang sukar dicari, malah ia juga kurang dikenali walaupun dalam masyarakat Melayu itu sendiri.


Ulam dikatakan mempunyai banyak khasiat sebab ia dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama. Justeru, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang terdapat dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba.

Selain itu, ulam juga dikatakan membekalkan serat yang amat diperlukan oleh sistem penghadaman manusia. Serat memainkan peranan sebagai pengisi pada bahan buangan dan memudahkan perkumuhan.

Antaranya, ulam pegaga yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak serta dikatakan dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.

Kangkung pula sejenis sayuran yang murah dan mudah diperoleh kerana tumbuh secara meliar di tepi-tepi sumber air, dikatakan dapat membantu mengurangkan kesakitan penyakit buasir, sakit kepala dan boleh digunakan untuk melebatkan rambut.

Jering pula didapati mengandungi banyak zat, antaranya protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, vitamin A, B dan C. Biarpun rasanya pahit dan berbau, ia juga dikatakan menjadi penawar kepada pesakit kencing manis.

Sementara petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus. Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Khasiat petai bergantung kepada umur dan kesegaran biji petai tersebut. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat, dikatakan kurang mempunyai kandungan khasiat yang tinggi. Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

Disebabkan khasiat yang terselindung, ulam-ulaman diminati ramai biarpun rasanya pahit dan baunya busuk.

Sebolehnya, jadikanlah ulam sebagai makanan wajib dalam hidangan kerana selain ia mampu membuka selera, turut 'dijamu' khasiatnya yang tinggi tidak kira dari segi pemakanan mahupun perubatan.

Selasa, 20 Mac 2012

Pakaian Kebangsaan

Pakaian Tradisi Malaysia Yang Menawan




Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.
Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.
Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.


Melayu
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala



Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang
Cina
Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

India
Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

Baba Nyonya
Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.



Portugis-Eurasian
Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak
Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pula kaum Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.
Pakaian Orang Iban Pakaian Orang Ulu
Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya.
kaum Kadazan-Dusun

Orang Asli

Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak.

Khamis, 19 Mei 2011

CERPEN HARI GURU (Terima Kasih Cikgu)


Di suatu subuh yang hening, seorang kanak-kanak meraung kesakitan. Susuk tubuhnya yang kurus kering dipenuhi dengan kesan calar-balar hampir di seluruh tubuhnya. Kehidupan Syafikah bertambah kusam setelah pemergian ibunya yang tercinta. Penderitaan ini berterusan apabila bapanya telah mengahwini seorang janda beranak satu yang lebih mementingkan anaknya berbanding dirinya. Tidak lama selepas itu, bapanya pula meninggalkannya akibat kemalangan jalanraya. Sudah jatuh ditimpa tangga begitulah kehidupan Syafikah kini.


“Aduh, sakitnya….Apalah malangnya nasibku ini….Sudahlah ibu pergi meninggalkanku, ibu tiriku pula memperlakukan aku seperti haiwan…..” rintih Syafikah dalam kesedihan.
Bunyi kokokan ayam jantan bergegak gempita memecah kesunyian subuh yang bening itu. Syafikah mengesot-ngesot dalam kesakitan untuk bangun daripada tilam usang tempat perbaringannya. Dia perlu segera menyelesaikan tugasnya sebelum ke sekolah. Jika tidak, dia pasti tidak dapat hadir ke sekolah sebelum deringan loceng berbunyi.
“Syafikah, Syafikah…. mana sarapan ni…..cepat sikit…nanti aku lambat ke tempat kerja! Kalau kau lambat, jangan harap kau ke sekolah lagi…..Apa yang kau buat ni…lambat….terhegeh-hegeh…Nah, rasakan kau!” Tanpa disedarinya sebuah rotan yang hampir pecah hinggap ditangannya. Syafikah mengerang kesakitan. Mira , adik tiri tiri Syafikah yang berusia dua tahun sedang menghabiskan sisa botol susu yang masih berbaki.

Dalam keadaan tubuhnya yang lemah dan kakinya yang terketar-ketar Syafikah menggagahi jua langkahnya agar tidak lambat ke sekolah. Jam di tangannya menunjukkan pukul 7.45 pagi. Semakin lambat terasa ayunan kakinya melangkah ditambah pula dengan kesakitan yang membelenggung jiwa. Akhirnya Syafikah tiba di ambang pintu kelasnya. Akibat kesakitan yang tidak terperi, akhirnya Syafikah tersunggur di hadapan pintu kelasnya. Semua murid-murid di kelas 6 Anggerik berlari ke arahnya. Cikgu Anita yang sedang menulis di papan hitam tergamam apabila terdengar bunyi dentuman di muka pintu kelasnya.


Cikgu Anita segera mendapatkan Syafikah. Tubuh Syafikah yang bermaya itu segera diangkat. Kawan karib Syafikah iaitu Nadia segera berlari menuju ke bilik air untuk mendapatkan sedikit air. Kelopak mata Syafikah yang lebam itu mula menguak lebar sedikit demi sedikit setelah direnjis dengan beberapa titik air. Nadia segera mendapatkan air minuman di dalam beg sekolah Syafikah lalu menghulurkannya kepada Cikgu Anita. Bibir Syafikah yang pucat lesi cuba meneguk beberapa teguk air minuman yang diberikan oleh Cikgu Anita.
“Terima kasih cikgu, terima kasih Nadia…..” Syafikah mula bersuara lemah sambil memandang ke arah Cikgu Anita dan Nadia. Mereka hanya mengangguk-anggukkan kepala di atas kata-kata Syafikah itu.
“Syafikah, kamu berehatlah dulu. Badan kamu terlalu lemah. Nanti cikgu hantar kamu pulang ke rumah ye…”

Cikgu Anita memandang Syafikah dengan penuh kesayuan. Dia tidak mahu menambahkan lagi bebanan fikiran Syafikah yang jelas terpancar di wajahnya. Biarlah Syafikah berehat dahulu sebelum dia mengajukan beberapa persoalan yang membelenggu benaknya semenjak beberapa bulan kebelakangan ini. Syafikah yang merupakan murid harapan sekolah mula menunjukkan kemerosotannya setelah kematian ibu dan disusuli pula pemergian ayahnya yang tersayang. Cikgu Anita tahu betapa berat mata yang memandang pastinya lebih berat lagi bahu yang memikul.

Cikgu Anita membawa Syafikah pulang ke rumah dengan menaiki kereta yang dipandunya. Sebelum itu, dia mengajak Syafikah singgah di sebuah warung untuk menikmati hidangan makan tengah hari. Tentunya Syafikah tidak memperolehi zat makanan yang seimbang memandangkan wajahnya yang pucat dan tubuhnya yang tidak bermaya. Sambil itu, mereka berbual-bual Cikgu Anita mula bersuara,
“Cikgu lihat sejak kebelakangan ini, kamu seringkali lewat ke sekolah. Kamu mesti ingat Syafikah yang kamu akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Kamu adalah murid harapan sekolah ini. Cikgu tidak mahu kamu menghancurkan harapan pihak sekolah yang telah tergalas di bahu kamu. Wajah kamu juga pucat lesi tidak seceria dulu. Cikgu tahu kamu telah kehilangan kedua-dua insan yang kamu sayangi. Tapi kamu mestilah merelakan pemergian mereka. Allah lebih menyayangi mereka berdua’.
Kata-kata yang tulus ikhlas yang lahir daripada hati nurani Cikgu Anita benar-benar merentap tangkai hati Syafikah. Titisan manik-manik halus mula menyimbahi pipinya yang cengkung itu. Bibirnya yang merekah mula memuntahkan kata-kata.
“Cikgu, saya memang berhasrat untuk memenuhi impian arwah kedua-dua ibu bapa saya. Saya juga berazam untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR ini. Tapi itu hanyalah tinggal impian yang tidak mungkin terlaksana umpama mimpi di malam hari. Apabila saya bangun, mimpi itu hanyalah tinggal mimpi sahaja. Apalah maknanya sebuah kejayaan andainya tidak dapat dikecapi bersama orang-orang yang saya sayang, cikgu.”
Cikgu Anita segera memintas kata-kata Syafikah yang semakin kecewa dan patah harapan. Dia tidak mahu anak didiknya terus hanyut dalam kekecewaan. Syafikah masih terlalu mentah dan muda untuk mengharungi kehidupan. Perjalanan hidupnya masih terlalu panjang. Dia perlu berubah demi mencapai kejayaan yang diimpikan agar kejayaan itu berada di dalam genggamannya. Hanya melalui kejayaan seseorang itu boleh mengubah nasib mereka suatu hari nanti.
“Syafikah, kamu perlu ingat yang kamu tidak berseorangan. Kamu masih dikelilingi dengan insan-insan yang menyayangi kamu. Kamu masih ada guru-guru dan rakan-rakan yang mengharapkan kejayaan kamu.”
Syafikah terdiam. Dia termenung sambil memikirkan kata-kata Cikgu Anita itu. Tiba-tiba Syafikah teringatkan wajah ibu tirinya yang garang. Dia segera melihat jam di tangannya. Wajahnya bertukar menjadi pucat lesi…..
“Alamak dah dekat pukul 3 petang ni!…..makan tengah hari belum disediakan lagi. Kain baju belum dibasuh, rumah perlu dikemas. Matilah aku jika mak cik balik sekejap lagi. Abis aku digulainya…..”

Syafikah bersuara gusar di dalam hatinya. Kegusaran itu jelas terpancar di wajah Syafikah. Cikgu Anita yang menyedarinya perubahan di wajah Syafikah mula bersuara….
“Kenapa Syafikah? Kamu tak suka keluar makan dengan saya atau kata-kata saya tadi menyinggung perasaan kamu?”
“Tidak, cikgu. Cikgu telah banyak memberikan kata-kata nasihat kepada saya. Saya amat menghargai niat ikhlas cikgu ini. Tapi cikgu, saya perlu segera pulang ke rumah. Masih banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan. Maafkan saya, cikgu”.
Kereta Honda Sivic berwarna hitam itu dipecut laju oleh Cikgu Anita. Malangnya apabila tiba di pintu rumah Syafikah, ibu tirinya sudah terpancul di muka pintu dengan muka yang bengis sambil mencekakkan pinggangnya. Tanpa menghiraukan kehadiran Cikgu Anita, ibu tiri Syafikah terus memekik bagai singa lapar ke arahnya…..
“Syafikah, kamu ni memang anak yang tak kenang diuntung…..ke mana kamu pergi ha? Dah pukul berapa sekarang? Makan tengah hari belum dimasak, baju belum dibasuh…rumah berselerak…..kamu nak jadi apa hah? Kamu mesti ingat yang aku yang tanggung makan minum kamu selama ini. Kalau tak kerana aku kau mati kebuluran!”
Cikgu Anita mula naik berang apabila mendengar kata-kata Puan Marini iaitu ibu tiri Syafikah. Dia mula bersuara…..
“ Puan, saya bukan bertujuan untuk masuk campur dalam urusan keluarga puan. Tapi anak-anak bukanlah hamba untuk kita lakukan sesuka hati. Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dengan ceria dan bahagia. Tambahan pula, Syafikah akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Puan perlulah menjaga hati dan perasaan dia.”
“Syafikah, kamu dah pandai ye sekarang. Mengadu domba keluarga kita kepada orang lain. Kamu memang tak kenang budi. Kalau bukan aku yang bela kamu pasti kamu merempat di tepi jalan. Kamu ingat dengan belajar bersungguh-sungguh aku akan hantar kamu ke sekolah yang lebih baik. Jangan mimpi la. Tahun depan kamu duduk saja di rumah. Uruskan rumah ni!.”
“ Puan tak boleh bersikap kejam kepada Syafikah begitu. Dia mempunyai potensi yang besar di sekolah. Jika dia diberi peluang dia pasti akan berjaya kelak.”
Puan Marini segera menarik tangan Syafikah ke dalam rumah. Dia tidak mahu mendengar sebarang kata-kata yang banyak membela Syafikah daripada Cikgu Anita lagi. Melihatkan keadaan yang sedemikian, Cikgu Anita mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah itu. Tidak ada gunanya bertelingkah dengan orang yang mempunyai sikap egoistik yang tinggi kerana ia hanyalah sia-sia umpama mencurah air di daun keladi. Cikgu Anita memandu keluar keretanya meninggalkan perkarangan rumah Syafikah. Dia bernekad untuk menjadikan Syafikah pelajar terbaik meskipun dibelenggu kesengsaraan hidup dan ditentang sepenuhnya oleh ibu tiri Syafikah.
Hari berganti hari. Pawana mengulit menyerlahkan kemunculan suria di balik mendung yang berarak pergi. Kehidupan syafikah bertambah ceria di atas dorongan dan kekuatan semangat berbunga-bunga yang diberikan oleh Cikgu Anita. Syafikah dan Nadia seringkali kelihatan bersama-sama dengan Cikgu Anita. Cikgu Anita telah banyak membantu mereka mengulangkaji pelajaran dan memberikan tunjuk ajar tanpa jemu. Tambahan pula, mereka akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Syafikah menggunakan segala peluang yang ada dengan baik di waktu persekolahan. Dia akan pulang ke rumah seperti biasa sebaik sahaja habis sesi persekolahan untuk menguruskan kerja-kerja rumah yang masih terbengkalai. Dia tidak mahu lagi ibu tirinya mengalahkan Cikgu Anita lagi. Tambahan pula, Cikgu Anita telah banyak membantunya serta menjadi sumber kekuatannya kini. Hidup Syafikah kini berubah. Keriangan terpancar di balik wajahnya menyirnakan kesengsaraan yang membelenggu ranting-ranting jiwanya. Nekadnya tetap utuh bersemi agar mimpi ngeri tidak lagi merantai jasadnya. Dia ingin menjadi murid yang cemerlang dan selalu berdoa agar pintu hati ibu tirinya terbuka untuk menerimanya .
Di kala suria memanahkan cahayanya menyimbah bumi, murid-murid sedang berada di kantin sekolah untuk menikmati juadah di waktu rehat mereka. Tiba-tiba kelihatan Nadia berlari-lari ke arah Syafikah. Dengan penuh tanda tanya, Syafikah cuma mententeramkan jiwanya yang kacau itu. Apakah perkhabaran yang ingin disampaikan oleh Nadia….
“Adakah ini suatu petanda buruk yang akan menjelma lagi……Aduh, apakah gerangan berita itu…..?” wajah Syafikah bertukar serta-merta. Jantung hatinya bergetar kencang secara tiba-tiba
“ Kenapa Nadia? Apa yang berlaku? Kenapa kamu berlari-lari ke mari? “ soalan yang bertubi-tubi keluar daripada mulut Syafikah tanpa henti-hentinya menggambarkan yang Syafikah sangat khuatir dengan berita yang akan didengarinya.
“ Syafikah, kamu jangan terkejut dengan berita ini….tadi pihak hospital menelefon ke pejabat sekolah….ibu tiri kamu berada dalam keadaan kritikal. Dia mengalami kemalangan jalanraya. Sekarang dia masih di unit kecemasan rapi . Adik tiri kamu pula meninggal akibat pendarahan di bahagian kepalanya……”
Tubuh Syafikah yang lemah itu jatuh terselepuk di lantai. Bayangan ibu tirinya yang begis dan seringkali meruntunkan jiwa Syafikah bertukar menjadi penuh simpati. Betapa jiwanya tidak pernah menyimpan sedikit dendam meskipun tubuhnya menjadi mangsa habuan ibu tirinya saban hari. Syafikah menganggap yang itu semua dugaan hidup yang harus ditempuhinya. Tambahan pula, kata-kata semangat daripada Cikgu Anita telah banyak mengubah persepsi dan tanggapan buruk terhadap ibu tirinya. Bayangan Cikgu Anita segera terlintas dibenaknya. Dia perlu segera mendapatkan Cikgu Anita untuk memohon bantuan.
Pintu bilik guru diketuk kencang. Syafikah yang masih tidak bermaya ditemani oleh Nadia untuk menemui Cikgu Anita. Dengan wajah yang terpinga-pinga, Cikgu Anita segera bertanyakan mereka berdua tujuan sebenar mereka menemuinya dan keadaan yang tergesa-gesa.
“ Kamu berdua ni kelihatan seolah-olah dirundung satu masalah yang besar. Apa tujuan kamu berdua ke mari. Sekiranya cikgu boleh membantu, cikgu akan cuba membantu kamu berdua sedaya upaya cikgu. Apakah yang berlaku kepada Syafikah….Nadia…..?”

Dengan nada suara yang bergetar-getar dan sebak, Syafikah mula mengaturkan bicaranya. Nadia yang berada di sisi Syafikah hanya diam membisu seribu kata.
“ Cikgu, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan…..ibu tiri saya sekarang berada dalam keadaan kritikal akibat kemalangan jalan raya. Adik tiri saya pula meninggal dunia. Saya sedih cikgu….merekalah dunia saya kini. Saya tidak ada siapa-siapa lagi. Tolong lah saya cikgu….saya mohon, cikgu”
“Saya berasa sungguh terharu dengan sikap kamu Syafikah. Saya berbangga dengan kamu. Kamu bukan sahaja seorang murid yang baik tetapi kamu juga merupakan seorang anak yang solehah. Meskipun ibu tiri kamu tidak pernah melayan kamu seperti anaknya tapi kamu tetap menganggapnya sebagai keluarga kamu sendiri. Kamu memang anak yang baik. Cikgu doakan agar kamu memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Kamu tak perlu bimbang. Mari cikgu hantarkan kamu ke hospital. Cikgu juga akan melancarkan derma bagi memperoleh sedikit bantuan kewangan dalam membantu meringankan beban keluarga kamu.”
“Terima kasih, cikgu….cikgu telah banyak membantu saya dalam meringankan segala bebanan dan masalah yang menimpa saya. Terima kasih, cikgu.” Nada suara Syafikah bertambah sebak lalu ditenangkan oleh Cikgu Anita.
“Sudah menjadi tanggungjawab cikgu untuk membantu kamu Syafikah. Anggaplah segala pertolongan cikgu adalah hadiah untuk setiap kesabaran dan kebaikan kamu, Syafikah. Sudahlah, mari kita ke hospital sekarang….” Syafikah ditemani oleh Nadia mengekori Cikgu Anita ke keretanya.
Laungan kereta Cikgu Anita yang menyusur jalanraya memecah kesunyian pagi itu. Syafikah yang masih dalam kesedihan dipeluk erat oleh Nadia. Nadia sangat mengerti segala kesedihan yang menyelubungi diri Syafikah. Di saat-saat ini, Syafikah sangat memerlukan teman bagi menenangkan dirinya yang kacau-bilau itu. Mujurlah dia seringkali ditemani oleh sahabat karibnya, Nadia dalam mengharungi hidupnya sama ada ketika dia gembira mahupun berduka.
Setibanya di sana, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku di atas katil di Unit Kecemasan Rapi itu. Tubuh yang dulunya bengis dan menggegarkan nyawa, kini hanya terbaring lesu tanpa suara. Ditubuhnya kelihatan wayar-wayar yang berselirat menggerunkan mata yang memandang. Nyawanya banyak bergantung dengan setiap alat pernafasan dan sumber makanannya pula dialirkan menerusi saluran tersedia ada. Sungguh terseksa Syafikah melihat penderitaan ibu tirinya di ruang yang sepi itu. Titisan-titisan mutiara berkaca mula berlinang membasahi pipinya itu. Tubuh ibu tirinya yang tidak pernah dijamahnya itu kini dipeluk erat. Cikgu Anita yang berada di situ segera menenangkan Syafikah. Dia tidak mahu Syafikah terus bersedih lagi. Biarlah segala kesedihan berarak pergi daripada kehidupan Syafikah yang suram.
Sepanjang ibu tiri Syafikah iaitu Puan Marini dirawat di hospital, Cikgu Anita dengan ikhlasnya menumpangkan Syafikah buat sementara waktu di rumahnya. Setiap hari selepas waktu persekolahan, Syafikah akan ditemani oleh Cikgu Anita untuk melawat ibu tirinya. Cikgu Anita juga akan membantu Syafikah mengulangkaji pelajaran kerana UPSR akan menjengah tidak berapa lama lagi. Syafikah juga perlu menstabilkan emosinya kerana dia berada di persimpangan antara memenuhi tuntutan sebagai seorang murid dan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibunya. Berkat kesabaran dan bimbingan yang berterusan daripada Cikgu Anita, Syafikah menjadi seteguh karang di lautan biru. Jiwanya kini bertambah kental. Syafikah mampu menempuh hari-hari yang mendatang dengan memperbanyakkan doa dan memohon agar ibu tirinya beroleh kesihatan seperti sediakala serta mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam UPSR tidak lama lagi.
Ketika setiap insan di muka bumi ini asyik lena di buai mimpi-mimpi indah, Syafikah membasahkan mukanya dengan simbahan air wuduk. Terasa kedinginan air itu menusuk hingga ke tulang-temulangnya. Di atas hamparan sejadah indah di kamarnya yang sepi, Syafikah menadahkan tangannya dengan merendah diri ke hadrat Ilahi tuhan pencipta alam memohon agar dia segera dihindari daripada segala dugaan yang membelenggu.
“Ya,Allah ya tuhanku….Andainya hamba mu ini terlalu banyak melakukan dosa-dosa di bumi mu ini ampuni lah diriku. Kau makbulkanlah doaku ini. Kau ampunilah setiap dosa-dosa ibu tiriku. Berikanlah dia kekuatan untuk terus melawan kesakitan yang dideritainya. Sembuhkan lah dia seperti dahulu kala agar dia dapat beribadah kepadamu. Kau berikanlah daku kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR nanti agar aku tidak mengecewakan Cikgu Anita….insan yang banyak menghulurkan bantuan tanpa jemu-jemu. Kau berkatilah hidupnya. Semoga dia memperoleh keberkatan di dunia dan akhirat”.
Syafikah tidak dapat menahan sebak di dadanya. Terasa dirinya sungguh kerdil di hadapan Allah yang maha kuasa. Air matanya terasa deras membanjiri pipinya. Syafikah lantas tunduk dan sujud di atas hamparan sejadah itu. Tanpa disedarinya, Syafikah tertidur di situ. Kokokan ayam yang mengejutkannya daripadanya tidur yang lena itu. Kesegaran tubuhnya terasa apabila desiran bayu pagi itu menjamah pipinya. Dia segera membersihkan dirinya dan bersolat. Walaupun hari ini merupakan hari minggu, Syafikah tidak perlu ke sekolah tetapi dia perlu ke hospital untuk menjengah ibu tirinya yang masih belum sedarkan diri. Hari ini sudah genap seminggu peristiwa ngeri itu menimpa ibu dan adik tirinya.
Kirmizi memayungi puputan pawana di hening pagi itu. Suatu rahmat menyimbah ke alam semester ini apabila Syafikah dan Cikgu Anita mengorak langkah ke ruang Unit Kecemasan Rapi itu. Segala doa dan hasrat Syafikah yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi akhirnya termakbul. Sekujur tubuh kaku Puan Marini mula menunjukkan reaksi yang memberangsangkan. Kaki dan tangannya mula bergerak-gerak dengan perlahan-lahan. Syafikah amat bersyukur di atas reaksi itu. Dia segera mendapatkan doktor untuk memberitahu tentang perkara tersebut.
“Alhamdulillah, pesakit nampaknya semakin menunjukkan perkembangan yang positif. Sekiranya pesakit terus menunjukkan perkembangan ini berkemungkinan pesakit akan boleh sembuh dengan cepat. Walau bagaimanapun, Puan Marini memerlukan sokongan emosi dan mental yang kuat terutama daripada ahli keluarganya kerana dia baru sahaja kehilangan anaknya dalam kemalangan ngeri itu.”
Dengan lantasnya Syafikah bersuara, “ Insyaallah doktor, saya akan lakukan yang terbaik untuk ibu saya.” Cikgu Anita mengusap lembut bahu syafikah dan turut menambah…..
“ Syafikah tidak perlu risau, selagi cikgu mampu, cikgu akan sama-sama membantu Syafikah”. Syafikah memeluk erat Cikgu Anita.
Hari berganti hari. Terasa begitu pantas jarum jam berputar di atas paksinya. Syafikah kini menunggu keputusan UPSR yang akan diumumkan tidak lama lagi. Kesihatan Puan Marini juga beransur pulih. Dia juga sudah mula menerima kehidupan baru hidupnya kini. Puan Marini bukan lagi Puan Marini yang dulu. Dia kini hidup sebagai Puan Marini yang baru. Dia sudah boleh menerima kehilangan anaknya serta akur dengan kehendak Ilahi dengan menganugerahkan Syafikah sebagai ganti anaknya.
Saat yang dinanti-nanti tiba kini. Keputusan UPSR kini mula diumumkan dan murid-murid tahun 6 berhimpun di perkarangan sekolah untuk mendapatkan keputusan masing-masing. Syafikah tiba di perkarangan sekolah bersama ibu tirinya yang turut menemaninya. Kini keputusan di dalam genggaman Syafikah. Alangkah gembiranya hati apabila impiannya menjadi nyata. Syafikah memperoleh 5A dalam ujian penilaian tersebut. Sahabat baiknya Nadia turut memperolehi keputusan yang sama. Berkat segala usaha dan titik peluh mereka bersengkang mata belajar bersama-sama dengan bimbingan Cikgu Anita. Puan Marini yang sangat gembira dengan keputusan tersebut melonjak kegirangan. Jelas di wajahnya keriangan dan kesyukuran yang tidak terhingga. Lantas Syafikah memeluk ibu tirinya.
“Alhamdulillah ibu, saya memperoleh 5A…..syukurlah”
“Tahniah Syafikah, ibu sangat berbangga dengan kamu. Kamu seharusnya berkongsi kegembiraan ini bersama Cikgu Anita. Dia yang banyak membantu kamu…..”
Syafikah berlari menuju ke bilik guru untuk mendapatkan Cikgu Anita. Malangnya, Cikgu Anita tidak ditemui. Jiwa Syafikah meronta-ronta ingin menunjukkan keputusan yang diperlehinya itu kepada Cikgu Anita yang merupakan insan yang paling bermakna dalam hidupnya. Alangkah sedihnya apabila Syafikah mendapat tahu yang Cikgu Anita telah ditukarkan ke sekolah lain. Cikgu Anita meninggalkan sepucuk surat buat Syafikah yang berbunyi…..
Buat Syafikah……
Cikgu tahu yang Syafikah pasti memperoleh kejayaan yang cemerlang seperti yang diimpikan. Maafkan cikgu…..cikgu terpaksa meninggalkan sekolah ini tanpa memberitahu Syafikah. Cikgu tidak mahu Syafikah sedih dan mengiringi pemergian cikgu dengan air mata. Cikgu gembira melihat kegembiraan Syafikah kini. Syafikah sudah memperoleh ibu yang Syafikah ingini. Teruskan hidup Syafikah untuk menegecapi kejayaan demi kejayaan. Andainya ada rezeki di lain masa pasti kita akan bertemu lagi. Sampaikan salam cikgu buat ibu Syafikah dan tidak lupa juga buat Nadia……
Walaupun surat itu ringkas tetapi membawa makna yang sungguh mendalam di jiwa Syafikah. Surat yang berada digenggaman Syafikah jatuh menyimbah bumi bersama deraian air matanya.
“Cikgu, cikgu tau betapa besarnya pengorbanan cikgu kepada saya. Walaupun jasad ini di mamah bumi, namun diri ini tidak akan melupakan setiap jasa dan budi baik cikgu…..terima kasih, cikgu…..”

Ahad, 15 Mei 2011

CPR (Cardiopulmonary Resuscitation0



Tujuan utama memberi CPR adalah untuk memulihkan bekalan darah ke otak sehingga ambulans datang dengan defirillator dan ECG. ini kerana sel-sel otak perlu darah penuh dengan oksigen untuk menjalankan fungsi. Tanpa bekalan darah beroksigen sel-sel otak boleh hidup 4 hingga 6 minit sahaja. selepas 6 minit, sel-sel otak mula mati dan dalam masa 10 minit semua sel otak telah mati dan mangsa mengalami kematian biologikal atau kematian tetap.

MODUL MENGURUSKAN KECEMASAN

D - Danger (Bahaya)
Pastikan keselamatan anda dan mangsa anda. Alihkan bahaya dari mangsa atau alihkan daripada bahaya.

R - Response (Tindakbalas)
Panggil mangsa, kejutkan beliau. Jika tidak ada tindakbalas minta bantuan kecemasan.

C - Memberi 30 tekanan di pertengahan tulang sternum

A - Membuka saluran pernafasan

B - Memberi 2 hembusan nafas secara perlahan