Ahad, 1 Mei 2011

AKTIVITI BULI DI SEKOLAH

Adakah anda sering menjadi mangsa buli?  Apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai buli?  Menurut Kamus Dewan  (1996), perkataan buli atau dikenali sebagai “bully”  bermaksud individu yang meggunakan kekuatan atau kuasanya untuk mencederakan atau menakutkan orang lain yang lebih lemah.  Manakala menurut Hazler & Hoover (1993), buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali.
Apabila kita bercakap tentang buli, ia bukan hanya setakat di kalangan pelajar sekolah sama ada sekolah menengah mahupun sekolah rendah malahan turut berlaku di Institusi Pengajian Tinggi.  Aktiviti membuli yang berlaku sejak akhir-akhir ini kian mendapat perhatian terutamanya yang melibatkan kes membuli pelajar sekolah.  Pelbagai pihak mengemukakan pendapat masing-masing tentang isu ini. 


Adakah anda tahu bahawa masalah ini menjadi semakin serius dihadapi oleh pelajar tidak kira sama ada pelajar bandar mahupun pelajar luar bandar. Menurut kajian yang dibuat, daripada seramai 1229 pelajar lelaki dan perempuan yang ditemuramah mendapati  bahawa ½ daripada mereka pernah menjadi mangsa buli. Berikut disenaraikan peratus kejadian buli yang berlaku:

  • Setiap hari (8%)
  • Setiap minggu (7%)
  • Kadang-kadang (33%)
  • Jarang (52%)

Daripada temuramah tersebut juga didapati bahawa seramai 58% menyatakan mereka tidak pernah membuli pelajar lain dan selebihnya mengaku pernah membuli pelajar lain.

  • 58 % buli pelajar , jarang-jarang
  • 22 % buli pelajar, kadang-kadang
  • 5 % buli pelajar setiap minggu
  • 15 % buli pelajar setiap hari
Menurut D’ Arcy Lyness, seorang pakar psikologi kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak membuli disebabkan ingin melepaskan perasaan mereka. Pembuli mungkin menghadapi masalah keluarga atau masalah di sekolah. Apabila merasakan diri mereka dibuli, mereka akan memberontak dan melawan menyebabkan kecederaan, kecacatan dan sebagainya.  Apabila pergaduhan berlaku, masalah akan menjadi bertambah rumit dan memberi masalah kepada sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Terdapat sesetengah pelajar yang mengambil langkah yang bijak apabila dibuli iaitu:

  • Memberitahu orang yang lebih tua (25%)
  • Tidak mengambil berat apabila dibuli (20%)
  • Cuba berbincang dengan pembuli (8%)

Terdapat dua langkah yang disarankan oleh Dr. Lyness ialah:

  • Pelajar yang merasakan diri mereka menjadi mangsa buli perlu memberitahu  orang yang lebih dewasa.
  • Orang yang diberitahu perlu mengambil tindakan untuk mengelakkan hal ini berulang.

Kerjasama antara pelajar yang dibuli dan orang yang lebih dewasa amat penting untuk menyelesaikan masalah ini.  Daripada kajian yang dijalankan , berikut disenaraikan langkah-langkah yang diambil oleh seseorang individu apabila melihat seseorang individu lain dibuli:

  • 16 % buat tak tahu
  • 20 % turut sama membuli
  • 41 % cuba menyelesaikan pergaduhan
  • 23 % minta bantuan orang lain


Adakah anda ingin membiarkan masalah buli ini berleluasa?  Atau anda mengambil sikap tidak mahu campur tangan terhadap urusan orang lain? Sekiranya anda mengambil sikap ini maka anda silap!  Bagaimana jika suatu hari nanti anda yang menjadi mangsa?  Pastinya anda memerlukan simpati dan bantuan daripada orang lain. Untuk mengubah sikap pembuli ini ianya memerlukan bantuan daripada ibu bapa, guru dan kaunselor untuk menasihati pembuli. Sesetengah pembuli ingin mengubah sikap mereka sekiranya mereka mempunyai sahabat yang memahami jiwa mereka dan dapat menghormati mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan