. Pernahkah anda terfikir untuk melarikan diri? Kemungkinan anda menyimpan segala kelengkapan anda di dalam beg untuk dibawa pergi dari rumah anda atau mungkin anda hanya bertapak di sekitar rumah rakan-rakan anda. Namun, setelah beberapa ketika, anda terlupa mengapa anda melarikan diri dari rumah, melihatkan keadaan sekeliling yang gelap anda mengambil keputusan untuk pulang semula ke rumah.
Diharapkan, perkara tersebut merupakan tindakan terakhir yang anda lakukan iaitu dengan melarikan diri dari rumah. Terdapat perbezaan yang ketara antara berfikir untuk melarikan diri dari rumah dengan benar-benar berazam untuk melarikan diri rumah. Melarikan diri merupakan satu masalah yang serius. Individu melahirkan emosi dan perasaan tidak puas hati mereka melalui tindakan melarikan diri yang bertentangan dengan norma masyarakat. Tambahan pula, individu ini tidak melalui keseronokan bersama masyarakat dan bersosial serta sukar untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Bagaimanakah perasaan anda setelah mengalami perselisihan faham dengan keluarga?. Perasaan marah dan terguris hati berkenaan perselisihan tersebut boleh mendorong anda untuk melarikan diri dari rumah. Situasi yang sering berlaku kini ialah anak-anak mudah untuk melarikan diri dari rumah disebabkan masalah yang mula timbul dalam keluarga tersebut. Sesetengah anak-anak mengambil keputusan untuk keluar dari rumah apabila berlaku pertelingkahan yang dahsyat. Mereka tidak akan mudah mengambil keputusan sedemikian sekiranya tiada pertelingkahan yang berlaku.
Apabila kebahagiaan di dalam rumah sudah mula tidak kelihatan mereka akan membuat sesuatu yang mereka sendiri malu untuk lakukan, anak-anak berasa malu untuk memberitahu keluarga dengan tindakan mereka. Punca-punca anak-anak melarikan diri dari rumah antaranya adalah seperti berikut:-
- Berlaku penderaan .
- Penceraian yang berlaku dalam keluarga dan kehadiran keluarga tiri.
- Kematian yang berlaku terhadap ahli keluarga.
- Mendapat anak baru yang menyebabkan mereka merasakan diri tidak lagi akan disayangi apabila perhatian yang lebih diberikan kepada bayi baru.
- Masalah kewangan keluarga.
- Anak-anak atau ahli keluarga mengambil minuman keras dan dadah.
- Masalah di sekolah
- Desakan rakan sebaya.
- Kegagalan dalam pembelajaran dan dibuang dari meneruskan pengajian.
Terdapat perbezaan sebab yang ketara di antara remaja lelaki dan perempuan untuk melarikan diri dari rumah. Kajian menunjukkan bahawa remaja perempuan yang melarikan diri daripada rumah adalah disebabkan oleh kawalan yang berlebihan daripada ibubapa mereka. Manakala remaja lelaki melarikan diri daripada rumah adalah disebabkan untuk berdikari, mencari kebebasan dan keseronokan di luar. Sebenarnya melarikan diri dari rumah dan meninggalkan rumah adalah dua perkara yang berbeza. Melarikan diri adalah bukan kemahuan diri tetapi disebabkan konflik dalam keluarga, terasa terasing dan tercabar serta bermasalah dalam perhubungan sosial. Meninggalkan rumah adalah dengan cara dorongan, bertanya dan mendesak untuk meninggalkan rumah.
Tekanan, kesusahan dan kegagalan dalam pembelajaran boleh menyebabkan remaja mengambil keputusan meninggalkan rumah. Ini berlaku terutamanya kepada remaja yang lemah mengikuti pelajaran, sukar untuk memperbaiki keputusan peperiksaan ataupun rasa terkongkong dengan suasana persekolahan. Mereka mengambil keputusan untuk mencari kebebasan dan keseronokan di luar tanpa memikirkan permasalahan yang melanda mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan