Ahad, 1 Mei 2011

MEMILIKI KESIHATAN MENTAL YANG BAIK

Anda sering mendengar luahan kerajaan yang mengutamakan kesihatan mental.  Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan pelbagai aktiviti dan program-program dianjurkan untuk menyedarkan orang ramai tentang betapa pentingnya kesihatan mental yang baik. Tahukah anda apa itu kesihatan mental?  Apakah yang dikatakan sebagai kesihatan mental yang baik?  Bagaimanakah membentuk kesihatan mental yang baik?
Definisi kesihatan mental yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kebolehan individu itu mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain, kebolehan mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan menyumbang kepadanya. Kesihatan mental berkait rapat dengan kehidupan kita. Orang ramai sering mengaitkan kesihatan mental dengan penyakit mental tetapi kenyataan ini adalah kurang tepat.  Ia melibatkan kehidupan harian yang merangkumi: 
  • Memupuk perasaan, fikiran dan tingkahlaku yang positif dalam diri sendiri.
  • Kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain, kumpulan dan persekitarannya.
  • Bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, masalah dan tekanan yang timbul dari kehidupan harian.
Adakah anda ingin memiliki kesihatan mental yang baik? Jawapannya adalah “ya” bukan?  Setiap individu pasti ingin memiliki kesihatan mental yang baik.  Apakah yang dikatakan sebagai kesihatan mental yang baik?  Berikut disenaraikan ciri-ciri kesihatan mental yang baik:
Terhadap diri sendiri
  • Menyedari kelemahan dan kekuatan diri sendiri.
  • Berupaya mengawal perasaan.
  • Sanggup menerima kegagalan.
  • Mampu menghindari kegiatan yang tidak bermoral.
  • Menghargai diri sendiri.
Terhadap orang lain
  • Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain.
  • Mampu memberi dan menerima kasih sayang.
  • Tahu menghargai dan mempercayai orang lain.
  • Dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka.
  • Terhadap cabaran
  • Berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah.
  • Mampu mengatasi konflik dengan bijak.
  • Mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.
  • Bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya gagal menyelesaikan masalah harian.
Mempunyai kesihatan mental yang baik menjadi impian setiap individu.  Bagaimana anda ingin membentuk kesihatan mental yang baik? Berikut disenaraikan sepuluh langkah ke arah kesihatan mental yang baik:
  • Menerima kenyataan diri secara realistik.
  • Mengendali masa dengan baik (time management)
  • Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak.
  • Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga dan orang lain.
  • Menjaga kesihatan fizikal.
  • Menyediakan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah.
  • Memastikan rehat dan tidur yang cukup.
  • Mengendalikan tekanan mental secara berkesan.
  • Mengamalkan asas-asas kerohanian yang baik.
  • Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu.
 
Kesihatan mental yang baik adalah penting untuk anda meneruskan kehidupan anda yang penuh pancaroba ini.  Setiap individu di muka bumi ini pasti mengharapkan agar sentiasa dikurniakan kesihatan mental yang baik.  Untuk merealisasikan impian anda,  peliharalah diri dan hiasilah

peribadi.

ADAKAH ANDA SERING DILANDA KERISAUAN....?

Bagaimana anda hari ini?  Tentu anda bertambah seronok untuk menjalani hari-hari yang mendatang bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang.  Kali ini kita akan membicarakan tentang topik kerisauan. Adakah anda sering dilanda kerisauan? Mengapa anda risau?    Bila anda mengalaminya?  Bagaimana anda mengatasi kerisauan tersebut?  Secara umumnya, kerisauan ini melanda setiap individu yang bernama manusia tanpa mengira batas usia sama ada kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.  Cuma yang membezakannya adalah  sebab-sebab dan punca-punca individu tersebut menjadi risau.  Ini kerana semakin meningkatnya usia seseorang individu maka semakin rumit dan kompleks kehidupan yang akan dijalaninya.  Maka individu tersebut terpaksa mempertimbangkan banyak perkara.

Adakah anda tahu apa itu risau? Perkataan risau bermaksud bimbang ,resah, gundah gelana akan sesuatu perkara. Perkataan risau bermaksud bimbang, resah, gundah gelana akan sesuatu perkara. Kerisauan di kalangan kanak-kanak boleh diertikan sebagai kebimbangan, keresahan semasa mereka berada di rumah mahupun di sekolah. Setiap individu pasti memiliki perasaan risau dan takut, begitulah juga dengan kanak-kanak. Namun demikian apakah yang menjadi kerisauan di kalangan kanak-kanak? Berikut adalah senarai utama hasil daripada kaji-selidik yang dibuat terhadap kanak-kanak yang berumur di antara 9-13 tahun.
·        Kedudukan  atau pangkat
·        Penampilan  diri
·        Masalah yang berlaku di rumah
·        Dikenali  ramai di sekolah
·        Berat badan yang berlebihan
·        Masa depan
·        Gagal dalam percintaan
·        Masalah dengan rakan-rakan
Perasaan risau sememangnya sering menyelubungi kanak-kanak.  Mengikut kajian yang dibuat, penampilan dan personaliti adalah antara faktor utama kerisauan di kalangan kanak-kanak. Secara keseluruhannya 43% daripada kanak-kanak menyatakan bahawa mereka risau tentang penampilan hampir setiap hari atau setiap minggu.  Kanak-kanak perempuan adalah lebih risau akan hal ini berbanding dengan kanak-kanak lelaki iaitu 39% dan 30% masing-masing, tetapi kebanyakan kanak-kanak mengambil berat akan penampilan diri mereka.  Hampir 1/3 kanak-kanak merasa bimbang setiap hari atau setiap minggu  akan peningkatan berat badan mereka. 28% lagi mengalami kebimbangan pada setiap bulan atau sesekali sahaja. 40% menyatakan mereka tidak risau akan hal ini.  39% kanak-kanak pula mengatakan mereka berasa bimbang akan masalah yang berlaku di dalam rumah setiap hari atau setiap minggu. 50% lagi mengatakan kebimbangan ini pada setiap bulan atau sesekali sahaja. Hanya 11% tidak risau akan hal ini.  Kanak-kanak juga mahu dikenali ramai terutama di sekolah. Namun 1/3 daripadanya berasa risau jika dikenali ramai di sekolah setiap hari atau setiap minggu dan 1/3 mengalami kerisauan sekali sebulan atau sesekali sahaja. Manakala 1/3 lagi tidak risau akan hal ini. 
Bagaimana pula dengan anda? Adakah  anda merasakan bahawa pencapaian akademik anda merupakan faktor kerisauan yang paling utama?  Adakah anda sentiasa mengharap agar memperoleh grade A dalam semua subjek! Mari kita lihat data yang diperolehi ke atas sebilangan pelajar:
·        42% bimbang tentang grade yang diperoleh setiap hari
·        11% bimbang tentang grade yang diperoleh setiap minggu.
·        11% bimbang tentang grade yang diperoleh sekurang-kurangnya sebulan sekali
·        19% lagi bimbang tentang grade yang diperoleh sekali-sekala
Ini bermakna sebanyak 53% daripada kanak-kanak iaitu lebih daripada separuh  menyatakan bahawa mereka bimbang tentang grade yang diperoleh hampir setiap hari atau minggu.  Menurut Christina Cortellessa iaitu seorang kaunselor di Pennsylvania, langkah-langkah berikut boleh diambil untuk mengatasi masalah ini.  Beliau mencadangkan supaya kanak-kanak mengemukakan soalan kepada diri mereka sendiri dan kemudian bertanya kepada ibu bapa mereka, guru-guru atau kaunselor untuk membantu dalam membuat pertimbangan.
·        Mengapa grade sangat penting?  Apakah maknanya kepada diri anda?
·        Bagaimana anda belajar?  Adakah anda mengulangkaji nota-nota walaupun tiada ujian pada keesokkan harinya?  Adakah anda mempunyai tempat yang sesuai untuk menyiapkan kerja rumah anda? Adakah  anda telah mencuba pelbagai kaedah untuk belajar seperti menyalin semula nota, menggunakan kad imbasan, dan belajar secara berkumpulan.
Setelah memahami tentang kerisauan, adakah anda sering mengalaminya?  Tepuk dada tanya selera, hanya anda yang mampu menjawabnya!  Oleh itu, anda perlulah terlebih dahulu mengenalpasti punca–punca  dan sebab-musabab berlakunya masalah kerisauan di kalangan kanak-kanak dan remaja agar anda mudah untuk mengatasinya.  

KESEDIHAN DAN KEMURUNGAN

Adakah anda rasakan hidup ini penuh keceriaan ataupun sebaliknya diselubungi kesedihan? Ceriakan hidup anda dengan warna-warna kegembiraan kerana kesedihan akan merosakkan hari-hari anda.  Walau bagaimanapun, setiap insan di muka bumi ini telah diciptakan mempunyai perasaan sedih. Namun begitu terdapat segelintir individu yang jarang berasa sedih tetapi kebanyakan remaja akan mengalami kesedihan sekurang-kurangnya sekali sebulan. Selalunya perasaan sedih ini akan hilang dalam masa satu hingga dua hari tapi bukan dalam jangka masa yang panjang.  Sebab mengapa kita harus berasa sedih akan dibincangkan dalam keluaran kali iaitu kesedihan dalam bahagian pertama.
Adakah anda faham apakah yang dikatakan kesedihan?   Kesedihan didefinisikan sebagai perasaan yang wujud di dalam hati individu apabila sesuatu perkara yang tidak diingini telah berlaku terutamanya perkara buruk yang menyebabkan anda berasa dukacita, hampa, tertekan dan akan mempengaruhi tingkah laku yang normal.   Sedih merupakan perasaan yang wujud daripada emosi seseorang. Kita akan berasa sedih apabila kehilangan sesuatu yang amat berharga dan apabila berlaku sesuatu perkara yang memilukan hati kita atau orang lain.
Berikut disenaraikan beberapa sebab mengapa anda harus berasa sedih.
/div>
  • Peristiwa-peristiwa yang menekankan
Peristiwa hidup adalah faktor-faktor yang menyumbangkan kepada kesedihan.  Sememangnya normal untuk berasa sedih setelah sesuatu peristiwa yang menyedihkan berlaku.  Tetapi anda perlulah menenangkan fikiran dan menerimanya.  Contoh peristiwa yang menekankan adalah seperti kehilangan yang serius atau tekanan seperti kematian orang yang disayangi, perceraian, gagal peperiksaan dan sebagainya.
  • Kekurangan sokongan sosial
Jika anda seorang diri dan terasing secara sosial, mempunyai masalah yang banyak dan mempunyai ketahanan fizikal yang lemah, maka anda lebih mudah mendapat kesedihan.  Contohnya, seorang pelajar baru yang mendaftarkan diri berasa sedih kerana sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru serta kurang sokongan daripada rakan sekolah dan guru-gurunya.
  • Keperibadian
Setiap individu boleh menjadi sedih disebabkan keadaan-keadaan yang tertentu.  Walau bagaimanapun, kita lebih mudah  berasa sedih disebabkan oleh  faktor keperibadian atau pengalaman lampau yang pernah kita alami.
  • Perbezaan jantina

Kajian menunjukkan bahawa pelajar perempuan lebih kerap berasa sedih berbanding pelajar lelaki.  Ini kerana pelajar lelaki seringkali tidak mengakui perasaan mereka, memendam perasaan atau menunjukkannya dalam perasaan agresif.

Selain itu mungkin juga apa yang dihajati tidak dapat kita miliki misalnya apabila anda meminati seseorang tapi anda tidak berjaya memilikinya. Ini menyebabkan anda akan rasa sedih kerana anda menganggap diri anda tidak bernilai buatnya.  Perasaan sedih juga menyebabkan anda akan menangis dan kadang-kala ianya sukar untuk dihentikan. Namun menangis adalah salah satu cara untuk mengurangkan rasa sedih malahan ia dapat memberi lebih keselesaan dan kepuasaan kepada diri anda. Apabila kesedihan tersebut lenyap, anda akan merasakan seolah-olah satu bebanan besar yang selama ini anda tanggung telah hilang. 

Selain itu juga bagi kanak-kanak yang dirundung kesedihan berpanjangan adalah berpunca daripada kehilangan seseorang yang amat mereka sayangi seperti ibu bapa. Di samping itu juga masalah yang berlaku di rumah misalnya penderaan fizikal dan mental, penceraian ibu bapa, penyalahgunaan dadah dan alkohol dan sebagainya juga mempengaruhi timbulnya rasa kesedihan.  Adalah penting bagi anda berjumpa seseorang jikalau berada dalam kesedihan atau kemurungan. Antara orang yang sesuai dijumpai  adalah ibu bapa, doktor, guru, kaunselor atau kawan baik. Mereka ini boleh membantu dalam merawat kesedihan mahupun kemurungan anda.


Bagaimana anda boleh tahu yang anda telah mengalami kesedihan dan kemurungan?  Penting bagi anda untuk mengetahui dan mengenalpasti simptom dan punca-punca anda mengalami kesedihan dan kemurungan.  Anda akan mengalami pelbagai gejala yang bukan sahaja ditunjukkan melalui fizikal dan mental malahan boleh menjejaskan kesihatan serta mendatangkan penyakit.

AKTIVITI BULI DI SEKOLAH

Adakah anda sering menjadi mangsa buli?  Apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai buli?  Menurut Kamus Dewan  (1996), perkataan buli atau dikenali sebagai “bully”  bermaksud individu yang meggunakan kekuatan atau kuasanya untuk mencederakan atau menakutkan orang lain yang lebih lemah.  Manakala menurut Hazler & Hoover (1993), buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali.
Apabila kita bercakap tentang buli, ia bukan hanya setakat di kalangan pelajar sekolah sama ada sekolah menengah mahupun sekolah rendah malahan turut berlaku di Institusi Pengajian Tinggi.  Aktiviti membuli yang berlaku sejak akhir-akhir ini kian mendapat perhatian terutamanya yang melibatkan kes membuli pelajar sekolah.  Pelbagai pihak mengemukakan pendapat masing-masing tentang isu ini. 


Adakah anda tahu bahawa masalah ini menjadi semakin serius dihadapi oleh pelajar tidak kira sama ada pelajar bandar mahupun pelajar luar bandar. Menurut kajian yang dibuat, daripada seramai 1229 pelajar lelaki dan perempuan yang ditemuramah mendapati  bahawa ½ daripada mereka pernah menjadi mangsa buli. Berikut disenaraikan peratus kejadian buli yang berlaku:

  • Setiap hari (8%)
  • Setiap minggu (7%)
  • Kadang-kadang (33%)
  • Jarang (52%)

Daripada temuramah tersebut juga didapati bahawa seramai 58% menyatakan mereka tidak pernah membuli pelajar lain dan selebihnya mengaku pernah membuli pelajar lain.

  • 58 % buli pelajar , jarang-jarang
  • 22 % buli pelajar, kadang-kadang
  • 5 % buli pelajar setiap minggu
  • 15 % buli pelajar setiap hari
Menurut D’ Arcy Lyness, seorang pakar psikologi kanak-kanak menyatakan bahawa kanak-kanak membuli disebabkan ingin melepaskan perasaan mereka. Pembuli mungkin menghadapi masalah keluarga atau masalah di sekolah. Apabila merasakan diri mereka dibuli, mereka akan memberontak dan melawan menyebabkan kecederaan, kecacatan dan sebagainya.  Apabila pergaduhan berlaku, masalah akan menjadi bertambah rumit dan memberi masalah kepada sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Terdapat sesetengah pelajar yang mengambil langkah yang bijak apabila dibuli iaitu:

  • Memberitahu orang yang lebih tua (25%)
  • Tidak mengambil berat apabila dibuli (20%)
  • Cuba berbincang dengan pembuli (8%)

Terdapat dua langkah yang disarankan oleh Dr. Lyness ialah:

  • Pelajar yang merasakan diri mereka menjadi mangsa buli perlu memberitahu  orang yang lebih dewasa.
  • Orang yang diberitahu perlu mengambil tindakan untuk mengelakkan hal ini berulang.

Kerjasama antara pelajar yang dibuli dan orang yang lebih dewasa amat penting untuk menyelesaikan masalah ini.  Daripada kajian yang dijalankan , berikut disenaraikan langkah-langkah yang diambil oleh seseorang individu apabila melihat seseorang individu lain dibuli:

  • 16 % buat tak tahu
  • 20 % turut sama membuli
  • 41 % cuba menyelesaikan pergaduhan
  • 23 % minta bantuan orang lain


Adakah anda ingin membiarkan masalah buli ini berleluasa?  Atau anda mengambil sikap tidak mahu campur tangan terhadap urusan orang lain? Sekiranya anda mengambil sikap ini maka anda silap!  Bagaimana jika suatu hari nanti anda yang menjadi mangsa?  Pastinya anda memerlukan simpati dan bantuan daripada orang lain. Untuk mengubah sikap pembuli ini ianya memerlukan bantuan daripada ibu bapa, guru dan kaunselor untuk menasihati pembuli. Sesetengah pembuli ingin mengubah sikap mereka sekiranya mereka mempunyai sahabat yang memahami jiwa mereka dan dapat menghormati mereka.

CINTA MONYET

Adakah anda sedang dilamun cinta? Atau tiba-tiba hadir  perasaan luar biasa terhadap individu lain yang berlawanan jantina?  Ini menunjukkan anda sedang angau sehingga menyebabkan anda tidak mampu mengawalnya.  Awas!  Jika ini melanda,

 anda mungkin akan kecundang dalam pelajaran anda.  Namun, sekiranya anda mampu mengendalikannya dengan bijak maka ia akan menjadi pendorong untuk anda terus berjaya.  Pilihlah jalan yang terbaik untuk anda kerana hanya anda yang mampu mengubahnya.
Pernahkah anda mendengar istilah cinta monyet?  Cinta ini lazimnya dialami oleh anak-anak remaja yang masih di bangku sekolah. Oleh itu, anda berhak untuk tidak memberitahu kepada orang lain mengenai siapakah yang anda cintai. Ini kerana ia mungkin akan menjadi bahan senda gurau rakan-rakan anda. Sesetengah orang menyatakan bahawa cinta pertama itu adalah cinta monyet atau ‘puppy love’ . Apabila perasaan anda itu menjadi realiti dan kuat, maka ia bukan lagi seperti cinta monyet buat anda. Ia dikatakan cinta monyet kerana perasaan sebegini adalah sesuatu yang baru buat diri anda di mana anda masih muda dan tidak mempunyai banyak pengalaman mengenainya dalam sejarah hidup anda.
Adakah anda mangsa kepada perasaan cinta dan angau ini? Untuk memahami perasaan anda sebenar maka berikut disenaraikan tanda-tanda yang menunjukkan anda sedang dilamun cinta mahupun angau terhadap individu lain:
·        Anda berdua meminati bola sepak, mendengar muzik, dan ais krim strawberi dengan coklat chips.
·        Dia mememiliki rambut yang menawan dan seorang yang sangat kelakar tetapi setiap kali anda melihatnya, anda terasa malu dan segan.
·        Anda tidak mengenalinya tetapi anda rasa gemuruh setiap kali berjumpanya. Muka anda akan terasa panas dan pipi anda akan menjadi merah.
·        Jikalau ada lelaki atau perempuan membuatkan anda terasa seperti di atas, anda akan kehairanan dan tertanya-tanya, “Apa yang berlaku ?”  Rasanya anda telah jatuh cinta atau dilamun cinta.
 
Cinta dan angau merupakan fenomena yang biasa dialami terutamanya di kalangan individu yang sedang meningkat remaja.  Cinta adalah satu perasaan yang tulus yang hadir dalam jiwa tanpa dipaksa dan diduga.  Namun, insan yang bercinta lazimnya terdedah kepada sindrom angau.  Tetapi angau pula mewujudkan satu keadaan yang negatif kepada individu yang mengalaminya.  Ini adalah kerana, individu yang mengalami angau ini lazimnya tidak dapat melakukan tugas hariannya dengan sempurna  kerana asyik terkenangkan insan yang dicintainya.  Anda  seolah-olah berada di dunia anda sendiri dan tidak memperdulikan keadaan sekeliling.  Yang paling parah sekali ialah apabila anda mengabaikan tugas anda sebagai seorang pelajar.
Adakah anda tahu apa itu cinta dan mengapa anda merasainya?  Seperti juga tubuh badan kita yang mengalami pertumbuhan sehingga menjadi tua, begitulah juga dengan perasaan kita yang turut mengalami perubahan menjadi matang apabila kita meningkat remaja dan dewasa. Perkataan  cinta (angau) menggambarkan satu perasaan yang istimewa terhadap seseorang misalnya kawan sekelas atau kawan yang anda betul-betul minati. Jatuh cinta kali pertama merupakan waktu yang terlampau berharga dan bermakna dalam hidup anda. Ini kerana anda berada pada peringkat awal untuk mengenali bagaimana rasanya apabila terlalu menyukai seseorang individu terutamanya yang berlainan jantina.
Cuba anda fikirkan apakah yang anda boleh lakukan jika anda dilamun cinta atau angau? Ini kerana  perasaan yang timbul  menyebabkan anda menjadi  keliru. Tambahan pula, ia adalah sesuatu perkara baru kepada anda dan anda tidak yakin bagaimana untuk menangani situasi baru ini. Anda  juga mungkin akan mengalami perasaan  yang bercampur-aduk. Apabila anda mengalami perasaan angau, sebahagian daripada diri anda akan mempunyai rasa malu dan segan di mana anda seolah-olah mahu menjauhkan diri atau menyembunyikan diri anda daripada individu lain. Perasaan angau juga adalah menyerupai sebuah cinta yang romantik.  Perasaan ini juga boleh membantu anda memikirkan tentang kebaikan seseorang yang hendak anda sayangi apabila anda meningkat dewasa kelak. Ia juga dapat membantu anda  dalam memahami siapakah individu yang lebih berkualiti yang anda sukai?.


BERJUMPA KAUNSELOR SEKOLAH ANDA

Apakah perlunya anda mendapatkan perkhidmatan kaunseling? Sebenarnya kaunselor dapat membantu anda untuk memberikan tumpuan dalam kelas dan menyesuaikan diri dengan masyarakat di sekolah serta menjadikan anda lebih positif terhadap persekitaran. Kaunselor juga tahu bagaimana untuk menjadi pendengar yang setia dan membantu anda dalam menghadapi cabaran. Kaunselor bukanlah seorang pemain silap mata yang dapat menghapuskan masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam masa yang singkat. Tetapi kaunselor berupaya menyawal keadaan agar menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Sekiranya dilihat secara mendalam, peranan kaunselor sekolah anda adalah untuk:
  • Bantu dalam memberikan pandangan dalam menyelesaikan masalah
  • Mengawal  masalah dan menjadikan keadaan lebih baik.
  • Kuanselor BUKAN MENYELESAIKAN MASALAH. Kaunselor menjadi pendengar yang setia
Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda memerlukan khidmat kaunselor?  Kaunselor selalunya akan masuk ke kelas untuk memberikan khidmat nasihat ataupun memberi ucapan semasa perhimpunan. Sesetengah sekolah menyediakan laman web untuk menerangkan tentang peranan kaunselor di sekolah dan bagaimana mendapatkan khidmat kaunselor sekolah. Jika anda tidak mengetahui prosedur untuk berhubung dengan kaunselor bertanyalah kepada guru, ibu bapa atau seseorang yang bekerja di pejabat sekolah. Selalunya kaunselor sekolah akan bertemu pelajar apabila:
  • Pertemuan persendirian di antara kaunselor dan pelajar yang bermasalah.
  • Perjumpaan di dalam kumpulan dengan pelajar yang mempunyai masalah yang sama.
  • Dalam kelas, di mana kaunselor mengajar subjek tertentu untuk semua pelajar contohnya kaedah belajar yang betul.

Tahukah anda bahawa kaunselor berperanan penting dalam hidup anda terutamanya berkaitan dengan persekolahan anda.  Adakah anda sedar tentang pentingnya menerima perkhidmatan mereka.  Apakah sebenarnya peranan utama guru bimbingan di sekolah?  Berikut disenaraikan peranan-peranan yang dimainkan oleh kaunselor sekolah:
  • Sebagai penghubung dengan guru lain, murid, ibu bapa dan masyarakat dari segi kerjaya, melanjutkan pelajaran, peribadi dan tingkah laku serta penyalahgunaan dadah
  • Sebagai pakar rujuk kepada guru biasa, murid dan ibu pada mengenai kerjaya, pelajaran, sosial dan peribadi
·        Mengadakan kaunseling individu atau kelompok mengenai kerjaya,  peribadi dan sosial
·        Merancang dan mengembangkan aktiviti-aktiviti dalam program bimbingan melalui kelab bimbingan dan kaunseling serta membuat penilaian murid dengan menggunakan pelbagai cara dan teknik
·        Merujukkan masalah kepada sumber-sumber khusus seperti dadah kepada PEMADAM dan jenayah kepada polis
Bagaimana anda boleh mengatur pertemuan anda dengan kaunselor?  Selalunya pertemuan dengan kaunselor berlaku dalam perjumpaan sulit atau persendirian. Pertemuan ini selalunya hanya dihadiri oleh pelajar yang bermasalah, kuanselor atau ibu bapa pelajar tersebut. Pertemuan biasanya berlaku di bilik khas kaunselor.  Seorang kaunselor mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam profesion kaunselor. Kaunselor akan menyimpan setiap maklumat atau rahsia yang telah diceritakan oleh klien daripada pengetahuan orang lain. Tetapi kaunselor boleh berkongsi maklumat tentang klien tersebut kepada orang lain tanpa menceritakan identiti klien dengan tepat untuk tujuan berkongsi maklumat.
Anda boleh membuat janji temu dengan kaunselor sama ada pada waktu persekolahan ataupun semasa luar waktu persekolahan. Jika semasa waktu persekolahan anda hanya perlu meminta izin daripada guru yang mengajar pada waktu tersebut dengan memberi alasan anda ingin bertemu kaunselor. Kaunselor juga boleh meminta perlepasan daripada guru anda sekiranya anda berasa kurang yakin untuk memberitahu sendiri kepada guru anda.

BERKOMUNIKASI DENGAN CEMERLANG


Komunikasi berasal dari perkataan ‘Latin’ iaitu “Communiatus” yang membawa maksud berkongsi sesuatu. Manakala menurut Owens (2001), komunikasi adalah suatu proses penukaran idea, informasi, keperluan dan kehendak. Bagaimanapun,  Lue (2001) pula mentakrifkan komunikasi sebagai satu proses pertukaran informasi dan pengetahuan di kalangan penutur yang merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia itu.
Menurut Donald H. Weiss (1994), terdapat empat langkah ke arah gaya komunikasi yang berkesan iaitu:

  • Berinteraksi secara terbuka
  • Pertukaran maklumat
  • Penerimaan perbezaan
  • Mempunyai perancangan tindakan

Halangan-halangan yang wujud akibat komunikasi yang tidak cemerlang:

  • Perbezaan tanggapan akibat latar belakang dan bahasa yang berbeza.
  • Berlakunya prejudis akibat wujudnya perasaan salah sangka dengan informasi yang diterima.
  • Komunikasi lisan dan bukan lisan yang bercanggah.
  • Kemahiran mendengar yang lemah.
  • Gangguan emosi seperti marah, sayang, benci, cemburu, malu dan takut akan mempengaruhi bagaimana anda memahami mesej orang lain dan bagaimana anda mempengaruhi individu lain dengan mesej anda.
  • Budaya dan status yang berbeza antara satu sama lain.
Panduan untuk menjana komunikasi yang cemerlang:

Kemahiran mendengar yang aktif.

  • Membentuk komunikasi bersemuka dengan tujuan melihat sejauh mana kepekaan dan kesedaran pengirim terhadap mesej yang disampaikan.
  • Menunjukkan pengesahan melalui perlakuan gaya badan seperti angguk kepala sebagai tanda pemahaman dan penerimaan.
  • Mengelakkan tingkah laku yang boleh mengganggu seperti bising.
  • Mengajukan soalan secara ikhlas bagi mengaktifkan minda bagi menerima informasi yang hendak disampaikan
  • Mengolak semula mesej yang diterima mengikut bahasa dan pemahaman yang tersendiri.
  • Mengelakkan sikap mencelah dan menyampuk ketika proses komunikasi.
  • Mengelak dari bertanyakan soalan yang keterlaluan atau menyinggung perasaan penerima